Tuesday 2 February 2016

Pembangkang Kedah mahu MB ditukar menerusi sidang DUN

Pembangkang Kedah mahu MB ditukar menerusi sidang DUN



2 FEB : Pertemuan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hanya mengambil masa sekitar 35 minit namun mereka mahu krisis kepimpinan politik Kedah diselesaikan melalui usul di sidang DUN jika usaha lain menemui jalan buntu.

ADUN Alor Mengkudu yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata, semua 15 ADUN pembangkang mahu jika pertukaran Menteri Besar Kedah ditentukan di sidang DUN, sama ada secara tergempar atau mengikut jadual pada April depan.
“Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan cuba menurunkan Mukhriz sebagai Menteri Besar melalui cara tidak bertatasusila.
“Jika Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi, proses menurunkannya juga mestilah mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat,” katanya di luar Wisma Darul Aman, Selasa.
Seorang ADUN yang tidak mahu dinamakan pula berkata, mereka ditanya sama ada menyokong atau menentang usaha untuk menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Ia adalah seperti temu bual. Kami telah dipanggil satu per satu. Saya diminta menyatakan pendirian mengenai MB (Menteri Besar) semasa dan jika kita menyokong beliau.
“Itu saya tidak boleh mendedahkan. Adalah suatu perkara yang rahsia. Tunggu pengumuman rasmi, anda akan tahu di mana sokongan kami,” katanya.
Sebelum itu, sekitar jam 3 petang seramai 13 daripada 15 ADUN pembangkang mengadakan pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman.
Ketua pembangkang dan ADUN PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN PKR Bukit Selambau, Dr R. Krishnamoorthy tidak hadir kerana dipercayai berada di luar negara.
Semalam, 20 ADUN Barisan Nasional (BN) telahpun menghadap anggota Jemaah Pemangku Sultan.
Sebanyak 15 daripada 36 kerusi DUN di Kedah dikuasai pembangkang, dengan PAS lapan kerusi, PKR empat kerusi, DAP dua, dan satu Parti Amanah Negara (AMANAH).
Suasana politik di Kedah “panas” susulan tekanan 14 ADUN dan Anggota Parlimen UMNO Kedah termasuk pemimpin kanan UMNO negeri yang diketuai timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.