Sunday 7 February 2016

Najib Mahu Semua Pihak Bertahan Keadaan Semasa

fw381909_sb09_280215__pm_labuan-lpr

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak untuk memahami keadaan sekarang berkaitan ekonomi dan bertahan kerana negara ini pernah mengalami keadaan yang lebih buruk pada masa dahulu.
Beliau berkata kerajaan amat menyedari situasi tersebut yang dilihat tidak menyenangkan kerana kejatuhan harga komoditi utama dunia minyak mentah yang dilihat begitu dahsyat di seluruh dunia.
“Saya baca dalam akhbar, bagaimana negara seperti Venezuela, ekonominya tahun lalu menguncup 10 peratus, tahun ini menguncup enam peratus. Di Nigeria, hasil eksportnya, 90 peratus bergantung kepada minyak, 60 peratus pendapatan negaranya bergantung kepada hasil minyak.
“Alhamdulillah, walaupun Malaysia menerima kesan negatif da­­ri­­pada kejatuhan harga minyak,­ ekonomi kita masih mampu berkembang. Tahun lalu (ekonomi)­ kita, sembilan bulan pertama, ber­kembang 5.1 peratus. Tahun ini, meng­ikut Dana Kewangan Antaraba­ngsa (IMF), kita boleh capai 4.4 hingga 4.5 peratus,” katanya ketika merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan di Kompleks Pasar Sentral Labuan, semalam.
Pada majis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rozman Isli.
Kompleks UTC berkenaan memakan masa lapan minggu untuk siap dengan mengubahsuai bangunan sedia ada mengikut keperluan perkhidmatan yang diberikan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kitaran ekonomi akan melihat kepada pemulihan harga minyak dan ekonomi dunia mengalami apa yang dikatakan ‘period of cycle’ atau kitaran masa.
“Maknanya, kalau masa ketika yang baik, selepas itu kita hadapi tekanan, lepas itu insya-Allah ekonomi dunia boleh pulih seperti sedia kala. Dalam hal ini, kita mesti bertahan, faham akan keadaan ini sebab kita pernah alami keadaan lebih buruk pada masa-masa lalu.
“Saya percaya rakyat bersama kerajaan, memahami keadaan ini. Maka kita boleh menanganinya dan meletakkan asas kukuh kepada ekonomi,” jelasnya sambil memberi jaminan untuk tidak menyusahkan rakyat biar­pun Bajet 2016 diubah suai.
“Berlaku ketirisan RM1 bilion cukai kerana barang-barang dari pulau bebas cukai Langkawi dan Labuan telah disalah guna seperti rokok, minu­man keras dan kereta mewah. Mungkin ada sindiket tertentu. Jadi kita ubah suai (bajet), dan masih berstatus bebas cukai.
“Kita kawal premis-premis ini, yang rekod baik, kita beri status tersebut. Kalau kita dapat jimat cukai ini, hasil negara akan bertambah,” tegas beliau.
Harga minyak mentah dunia jatuh ke paras antara yang paling rendah iaitu menghampiri AS$30 setong. Keadaan itu cukup untuk membuatkan pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi terpaksa menaikkan harga runcit bagi petrol di negara mereka.