Thursday 11 February 2016

Kes jenayah siber cecah 10,000 setahun


KUALA LUMPUR - Ancaman terhadap jenayah siber dijangkakan akan terus meningkat selepas kira-kira 10,000 kes telah dilaporkan pada setiap tahun melibatkan kesalahan jenayah siber dengan pelbagai jenis kesalahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan laporan mengenai kesalahan jenayah siber yang berlaku sejak lima tahun kebelakangan ini dan jumlah tersebut dilihat semakin meningkat.
"Dalam tempoh 19 tahun, CSM telah menerima hampir 60,000 laporan mengenai kesalahan jenayah siber yang melibatkan kesalahan teknikal dan bahan seperti penipuan penjualan barangan secara atas talian, penggodaman sistem, ancaman virus serta fitnah menerusi laman media sosial.
"Melalui jumlah tersebut kesalahan yang melibatkan unsur penipuan merupakan kes yang banyak diterima oleh CSM sementara jenayah melibatkan pencerobohan dan penggodaman sistem merupakan kes kedua tertinggi yang dicatatkan," katanya pada pemberita di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini tadi.
Terdahulu, CSM yang diwakili oleh Amirudin telah menandatangani dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UTM bagi membangunkan infrastruktur mengurus data forensik siber dengan lebih selamat.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Wahid Omar. - K! ONLINE


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my