Friday 19 February 2016

Kerajaan Tidak Akan Sesekali Benarkan Penggunaan Ganja


Agak pelik kenapa tiba-tiba dadah ganja boleh dicadangkan dibenarkan penggunaannya serta dikatakan ia boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan akibat kenaikan kos sara hidup. Kita semua sudah ketahui apa kesannya jika menghisap ganja dan apakah gejala yang akan dibawa jika menghisapnya.
Berapa ramai ibu bapa yang cedera dek kerana anak yang ketagih tidak mendapat bekalan ganja sanggup mencederakan mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah berkenaan?
Berapa ramai pula yang rosak kerjaya mereka akibat ketagihan ganja dan khayal ketika di tempat kerja ketika menghisap dadah durjana ini?
Kerajaan tidak akan sekali-kali mengambil keputusan membenarkan penggunaan dadah berkenaan yang selama ini diklasifikasikan sebagai satu daripada dadah berbahaya dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika mengedarnya.
Dadah jenis itu akan tetapi menjadi satu bahan terlarang dan mengedarnya dianggap jenayah apatah lagi menanam pokok ganja yang juga boleh dihukum mengikut undang-undang.
Bayangkan kerosakan yang terpaksa ditanggung keluarga jika menghisap ganja dibenarkan dan segala undang-undang berkaitan larangan penggunaannya dipinda kerana lebih ramai golongan belia yang tidak bekerja akan mendapatkannya dan kemudian menghisapnya atas alasan menghilangkan tekanan.
Selama ini, dengan penguatkuasaan undang-undang ketat ganja juga ramai anak muda telah rosak dan gagal dalam pelbagai cabang hidup akibat ganja, inikan pula jika tiada undang-undang yang melarangnya.
Menghisap ganja juga dikenali sebagai langkah permulaan untuk seseorang itu mula terlibat dengan penagihan dadah dan ia dikatakan mudah didapati di pasaran gelap pengedaran dadah.
Selepas menghisap ganja, seseorang itu akan berkeinginan pula untuk mencuba dadah jenis lain khususnya dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan pil Ecstasy yang lebih memudaratkan.
Dalam soal dadah, tiada kompromi yang diambil kerajaan biarpun apa alasannya kerana dadah membawa lebih banyak kerosakan, kesan negatif serta gejala buruk kepada penagihnya yang kemudiannya akan melarat sehingga menjejaskan masyarakat dan negara.