Monday 1 February 2016

Kerajaan Negeri Sedia Tanggung Kos Infrastruktur Kawasan Perumahan Kecil


IPOH: Kerajaan negeri bersedia untuk menanggung kos infrastruktur bagi kawasan-kawasan perumahan baharu bagi golongan berpendapatan rendah sebagai salah satu pendekatan dalam membantu golongan tersebut memiliki rumah.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana, kos infrastruktur menjadi satu kekangan yang cukup besar melibatkan sesuatu kawasan perumahan yang ingin dibangunkan.
“Kos infrastruktur menjadi satu kekangan yang cukup besar iaitu dimana satu-satu kawasan yang hendak dibangunkan menjadi satu kawasan perumahan, kos untuk kita menyediakan tapak di kawasan yang berkenaan melibatkan jutaan ringgit.
“Itulah yang menyebabkan kadangkala kita melihat kenapa pemaju-pemaju perumahan terpaksa menjual pada harga yang tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan projek Suria@Meru dan portal Rumahku Amanjaya di sini, pagi tadi.
Justeru itu, Zambry berkata, kerajaan negeri berusaha dalam menyelesaikan masalah perumahan dalam kalangan orang miskin dengan menyediakan bantuan untuk membuat kerja-kerja infrastruktur buat sesuatu kawasan yang telah dikenalpasti, terutamanya yang melibatkan kawasan yang kecil.
“Dahulu, kerajaan negeri telah cuba membuat pendekatan menerusi kerjasama dengan pihak pemaju iaitu pemaju memajukan kawasan yang diberikan dengan 30 peratus diberikan kepada kerajaan negeri supaya kerajaan negeri dapat memberikan kepada mereka yang ingin memiliki rumah, atau diberikan kepada pemaju yang ingin membuat rumah-rumah kos rendah, teapi model itu tidak berjaya.
“Lantaran itu, baru-baru ini kita telah bincangkan di peringkat kerajaan negeri melalui Yayaysan Bina Upaya (YBU) supaya kawasan yang kecil itu kita boleh bina rumah mampu milik,”jelasnya.
Jelas Zambry lagi, antara contoh usaha yang berjaya dilaksankan adalah projek perumahan di Segari, Pantai Remis.