Thursday 25 February 2016

Enam Strategi Pacu Eksport Negara - Najib



PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Penekanan khusus akan diberikan kepada penembusan pasaran melalui perniagaan dalam talian (e-dagang) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bagi memacu pertumbuhan eksport negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai satu daripada enam strategi yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Eksport Negara (NEC) di sini hari ini, beliau berkata antara program yang akan diperkenalkan termasuklah eTRADE, inisiatif oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di bawah Digital Malaysia dan diselaraskan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Beliau berkata program eTRADE akan membolehkan PKS memasarkan produk mereka dan mendekati pembeli global melalui e-pasaran antarabangsa seperti Alibaba.com, eBay, Amazon.com, TradeIndia, TMall.com dan JD.com.

"Kerajaan menyasarkan supaya sumbangan eksport PKS ditingkatkan kepada 23 peratus pada tahun 2020 daripada 19 peratus pada masa ini," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NEC 1/2016 di sini Khamis.

NEC yang dianggotai 11 anggota daripada sektor awam dan tujuh anggota daripada sektor swasta akan terus mengaturcara dan bersiap sedia menghadapi cabaran global untuk memastikan kedudukan eksport negara terus positif.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi strategi kedua, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata NEC melalui Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan oleh Matrade mahu menggalakkan lebih banyak Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia menjadi juara eksport di peringkat serantau dan global.

"Ini untuk mewujudkan lebih banyak syarikat bertaraf multinasional (MNC) dari Malaysia," katanya.

Bagi mengoptimumkan manfaat kerjasama strategik dalam kalangan kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam penjenamaan negara, Najib berkata NEC bersetuju untuk memantapkan promosi penjenamaan Malaysia melalui inisiatif Perkongsian Awam-Swasta di bawah Program Promosi 1Malaysia.

Bagi strategi keempat, Najib berkata Matrade, sebagai agensi promosi eksport negara perlu mempelbagaikan pasaran eksport terutama ke bandar-bandar peringkat ke-2 dan ke-3 di China, pasaran Greenfield dalam ASEAN, negara-negara ahli Perkongsian Trans-Pasifik, pasaran Afrika dan Asia Tengah.

"Langkah ini akan mendedahkan lebih banyak peluang eksport kepada syarikat Malaysia, khususnya PKS," katanya.

Selain itu, Najib berkata NEC juga membincangkan pelan strategik untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport produk pertanian melalui penekanan terhadap Kawasan Kekal Pengeluaran Makanan dan Zon Bersepadu Akuakultur.

"Pelan ini disasarkan untuk mencapai imbangan perdagangan yang lebih baik bagi produk agro-makanan," katanya.

Bagi strategi keenam, katanya usaha promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan melalui penjualan pakej percutian domestik bersepadu bagi menggalakkan rakyat Malaysia bercuti dalam negara untuk mengurangkan pengaliran keluar mata wang selain menggiatkan aktiviti ekonomi domestik.

Beliau berkata eksport memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana ia mewakili 67.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ketika Malaysia bergerak ke arah status negara maju, sumbangan eksport menjadi semakin penting kepada negara kita. Gabungan lebihan akaun semasa dan lebihan dagangan menggambarkan asas ekonomi yang kukuh bagi Malaysia," katanya.

Sementara itu, Najib berkata pada tahun lepas, eksport Malaysia meningkat 1.9 peratus kepada RM779.9 bilion berbanding 2014.

"Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dengan mengambilkira keadaan ekonomi yang mencabar seperti harga komoditi yang rendah, kejatuhan nilai mata wang dan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan.

"Imbangan perdagangan juga meningkat sebanyak 14.3 peratus kepada RM94.3 bilion dan merupakan tahun ke-18 berturut-turut Malaysia mencapai lebihan dagangan.

"Akaun semasa juga kekal positif walaupun pada tahap lebih rendah daripada tahun 2014," katanya.

-- BERNAMA