Saturday 13 February 2016

Cadang Cuti Khas Bergaji



Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang (tengah) turut serta beramah mesra dengan pengunjung pada Program Jelajah AADK sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2016.


Kuala Terengganu: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bercadang memberikan cuti khas bergaji bagi membolehkan penjawat awam yang terbabit dalam masalah dadah menjalani rawatan pemulihan.
Timbalan Ketua Pengarah ( Pengurusan) ADDK Azizan Ariffin berkata, ia masih dalam peringkat cadangan serta perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan jawatankuasa di peringkat kementerian untuk memberi cuti khas supaya mereka dapat menjalani rawatan bagi memastikan mereka benar bersih daripada gejala tidak sihat itu.
Bagaimanapun, katanya, perkara terbabit masih dalam cadangan dan sebarang keputusan mengenainya masih belum dibuat lagi.
"Ini antara strategi yang akan dibuat bagi menangani masalah penyalahgunaan dalam kalangan penjawat awam untuk memberi peluang agar terus bersih daripada najis dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.
"Jika perkara ini dipersetujui di peringkat nasional dan JPA sendiri, penjawat awam yang dikenal pasti terbabit dalam penagihan dan penyalahgunaan dadah boleh mendapatkan rawatan pemulihan sama ada menggunakan cuti rehat dan cuti khas yang diluluskan," katanya pada sidang media ketika Program Jelajah AADK sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2016 peringkat Terengganu, di sini, hari ini.

-Harian Metro