Friday 26 February 2016

ADUN PKR SIFATKAN TINDAKAN GUAN ENG TIDAK WARAS



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR menyifatkan tidakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggugurkan dua ahli mereka tanpa sebarang perbincangan adalah sebagai tidak waras.
Keputusan yang dianggap kejam itu sepatutnya difikirkan terlebih dahulu terutama dari segi kesan dan akibat yang akan melanda kepimpinan dan parti sebelum sebarang kata putus dibuat Lim.
Sambil mengecam tindakan tersebut, jelas mereka yang turut bersetuju dengan kenyataan Pemuda PKR mengatakan bahawa, Lim sepatutnya menghormati perjanjian bersama ditandatangani gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Terdahulu Lim dilaporkan telah memecat dua Adun PKR yang memegang jawatan pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) berikutan kegagalan mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri dalam isu tebus guna tanah di Pulau Pinang.
Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen, telah ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
Sementara Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.
Namun menurut Lim, tiga lagi Adun PKR, Lee Khai Loon (Machang Bubok), T Jayabalan (Batu Uban) dan Norlela Ariffin (Penanti) yang juga berkecuali daripada mengundi menentang usul Umno itu tidak terjejas.