Wednesday 30 March 2016

Mahathir Terus Dipersenda Dan Dihina Di Pentas Pembangkan


MatSabuMahathit

Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya seakan tidak menyedari bahawa langkahnya bekerjasama dengan pembangkang hanya memalukan dan menghinakan dirinya sendiri dek kerana dosa-dosanya kepada pemimpin pembangkang pada masa lalu.
Pada satu majlis deklarasi Dr Mahathir di Shah Alam Ahad lepas, mereka yang menjadi mangsa pentadbiran ‘kuku besi’ beliau ketika menjadi Perdana Menteri menggunakan kesempatan berucap untuk terus menghina dan memperlekehkan beliau secara terbuka.
Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata beliau berasa gementar berucap di hadapan Dr Mahathir kerana ketika menjadi Perdana Menteri, beliau dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Saya rasa ‘nervous’ di depan Perdana Menteri yang berkuasa lebih 22 tahun… Dua kali saya ditahan di bawah ISA, di bawah regim Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanta disambut gelak ketawa penonton.
Kemudian, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pula menambah lagi kata-kata memperlekehkan Dr Mahathir apabila mengatakan beliau juga ditahan dan turut dipukul ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir.
“Ramai pejuang rakyat sama ada di atas atau di bawah, yang dizalimi dan telah dipenjarakan…Saudara (Lim) Kit Siang berapa kali kena penjara?.. dua kali… Mat Sabu kena penjara, Mahfuz kena penjara.
“Saya sendiri pernah ditangkap, dipenjara dan dipukul pada 16 September 1998, sebelum Datuk Seri Anwar (Ibrahim) kena tangkap pada 20 September, ini yang kena tangkap dulu,” kata Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.
Sekarang sudah terjawab, langkah yang dibuat oleh Dr Mahathir mengubah kawan menjadi musuh hanyalah memerangkap diri sendiri dan ia adalah satu perbuatan ‘bunuh diri’ yang dilakukan secara rela tanpa paksaan. Adakah beliau tidak tahu? apa akan jadi kepada reputasinya seandainya menyerahkan diri kepada pakatan pembangkang ini?
Pembangkang sebenarnya ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’ apabila tidak menyangka pemimpin ala-diktator seperti Dr Mahathir mampu datang kepada mereka dan memohon bantuan dan sokongan semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Oleh kerana itu, Dr Mahathir diminta mengumumkan keluar dari UMNO untuk beri ruang secukupnya untuk pembangkang mengutuk beliau dan pada masa sama mempergunakan Dr Mahathir supaya Najib digulingkan dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang.
Kalau manusia biasa, pastinya sudah cuba menutup muka akibat malu apabila satu demi satu onar yang dilakukan ketika berkuasa dahulu diungkit, dicerita dan dijadikan bahan ketawa dalam majlis berkenaan.