PRK N24 Semenyih - Ahli PAS mengaku tidak berasa kekok untuk mengundi calon BN, Zakaria Hanafi meskipun kali pertama memangkah logo dacing.
Pengundi PAS, Mohd Nizam Mat Ali, berkata dia menyokong calon BN demi perpaduan Melayu dan Islam.
"Kali pertama saya mengundi BN demi perpaduan Melayu, demi kerjasama untuk agama Islam.
"Inilah masanya untuk kita bersatu, untuk kita tunjukkan bahawa kita bukanlah bangsa yang ditindas.
"Kita harapkan kerjasama UMNO dan PAS ini demi kepentingan Islam, malah saya kira apa yang terjadi di Cameron Highlands tempoh hari bertambah hebat di Semenyih ini," katanya ketika ditemui di pusat pembuangan undi di Sesapan Batu Rembau, Semenyih hari ini.
Kerjasama UMNO dan PAS sebelum ini dilihat membuahkan hasil pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang menyaksikan BN pertama kali menang dalam siri PRK selepas 9 Mei.
Meskipun pada awal kempen terdapat kekeliruan, namun kerjasama itu ternyata diteruskan di PRK Semenyih.
Sementara itu, seorang lagi pegundi PAS, Sabri Tudan, 54, pula berkata dia yakin penyatuan UMNO dan PAS mampu menjadikan Islam lebih kuat.
Katanya, ini adalah peluang terbaik untuk menterjemahkan kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam dengan mengundi calon BN.
"Saya rasa ini adalah masa yang terbaik untuk kita memastikan orang Melayu bersatu. Saya tidak kekok untuk mengundi calon BN.
"Apabila orang Melayu bersatu secara tidak langsung Islam akan menjadi lebih kuat di tanah air ini," katanya.
Pada PRK DUN Semenyih, BN mempertaruhkan Zakaria Hanafi, Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan sandaran pada Muhammad Aiman Zainali.
Manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula mencalonkan Nik Aziz Afiq Abdul dan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng bertanding calon bebas.
#Zakaria4Semenyih
#BNSemenyih